RMC UPM Anjur Bengkel Penulisan Proposal FRGS 2019 | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » RMC UPM Anjur Bengkel Penulisan Proposal FRGS 2019

RMC UPM Anjur Bengkel Penulisan Proposal FRGS 2019

SERDANG, Februari - Pada 12 & 14, 18 Februari 2019, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), telah mengadakan Bengkel Penulisan Proposal FRGS 2019 bertempat di Mini Auditorium 1, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan di UPM Kampus Bintulu, Sarawak. Bengkel ini menyasarkan penyertaan dari kalangan penyelidik muda dan penyelidik yang berhasrat untuk memohon Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) 2019 yang sedang dibuka sekarang. Bilangan penyertaan hanya terhad kepada 90 perserta terawal sahaja untuk setiap sesi.

Bengkel ini disampaikan oleh penceramah yang berpengalaman iaitu Prof. Dr. Abdul Halim Shaari dari Fakulti Sains, UPM. Beliau pernah menjadi ketua kluster panel penilaian UPM dari 2010 hingga 2016 dan juga pernah menjadi panel penilai FRGS di peringkat kementerian.

Pengarah RMC, Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban dan Timbalan Pengarah Geran Penyelidikan, RMC, Prof. Dr. Shamsul Bahri Hj Mohd Tamrin turut sama hadir pada sesi bengkel di Kampus Serdang. Manakala, bagi sesi bengkel di UPM Kampus Bintulu, seorang pegawai RMC telah ditugaskan untuk mengiringi Prof. Dr. Abdul Halim.

Tujuan bengkel ini diadakan bertujuan membantu dan membimbing penyelidik untuk  menghasilkan  proposal yang berkualiti serta memantapkan lagi penulisan proposal untuk permohonan FRGS. Skim ini dapat menggalakkan penyelidikan asas untuk menjana ilmu yang mampu menyumbang terhadap peningkatan tahap intelektual, penciptaan teknologi baru dan penyuburan budaya yang dinamik selaras dengan aspirasi negara.

Semoga bengkel penulisan proposal FRGS ini dapat membantu penyelidik muda dan penyelidik lain yang berhasrat untuk memohon dan semoga permohonan berjaya setelah keputusan dikeluarkan nanti.