SERDANG, 22 Mei – Audit Dalaman Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001:2015 bagi Entiti Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berlangsung pada 20 hingga 22 Mei 2026 dengan melibatkan skop pengurusan, perkhidmatan utama penyelidikan dan inovasi serta sokongan.
Audit dalaman ini dilaksanakan sebagai usaha berterusan dalam memastikan pematuhan terhadap standard pengurusan kualiti ISO 9001:2015 di samping memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, sistematik dan berkualiti.
Sepanjang sesi audit, semakan dokumentasi, rekod kerja serta proses operasi telah dijalankan secara terperinci oleh pasukan juruaudit dalaman yang diketuai oleh Puan Arba’ah Md Salleh, Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, UPM.
Audit ini turut memberi ruang kepada warga kerja untuk menilai keberkesanan pelaksanaan prosedur kerja, mengenal pasti ruang penambahbaikan serta memperkukuh budaya kerja berkualiti dalam organisasi.
Pelaksanaan audit dalaman ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memastikan sistem pengurusan kualiti sentiasa dipertingkat sejajar dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan perkhidmatan dan tadbir urus yang berimpak tinggi.
Tarikh Input: 22/05/2026 | Kemaskini: 19/06/2026 | norasiah

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Tingkat 5
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang, Selangor