UPM SERDANG, 11 Jun 2026 –Isu kesihatan planet kini bukan lagi ancaman masa depan, sebaliknya telah menjadi realiti semasa yang memberi kesan langsung kepada kesihatan manusia melalui perubahan iklim, bencana alam, pencemaran dan kemerosotan ekosistem.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Putra Malaysia, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc berkata, pelancaran Blueprint Kesihatan Planet dan Kelestarian UPM merupakan usaha strategik universiti dalam menggembleng kepakaran merentas bidang bagi menangani isu kompleks yang menghubungkan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Beliau menjelaskan pendekatan kesihatan planet merangkumi keseluruhan ekosistem secara menyeluruh serta selari dengan agenda pembangunan mampan, selain menjadi panduan kepada penyelidik dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan penyelidikan, inovasi dan penglibatan komuniti.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata peningkatan penyakit zoonotik seperti COVID-19, SARS dan H1N1 membuktikan kaitan rapat antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar, sekali gus menuntut pengukuhan pendekatan One Health secara bersepadu.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, industri dan komuniti bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada dasar dan inovasi yang memberi impak kepada kesejahteraan masyarakat serta kelestarian negara.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memperkukuh agenda kesihatan planet dan kelestarian melalui penyelidikan, inovasi dan kolaborasi strategik.
Tarikh Input: 12/06/2026 | Kemaskini: 19/06/2026 | norasiah

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Tingkat 5
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang, Selangor