UPM Capai Lonjakan Tertinggi Negara Dalam Ranking Universiti Terbaik Dunia | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » UPM Capai Lonjakan Tertinggi Negara Dalam Ranking Universiti Terbaik Dunia

UPM Capai Lonjakan Tertinggi Negara Dalam Ranking Universiti Terbaik Dunia

SERDANG, 19 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat lonjakan tertinggi antara semua universiti dalam negara sebanyak 43 tangga dalam QS World University Rankings 2020.

Universiti Malaya mencatatkan kedudukan pertama negara iaitu ke-70 (naik 17), diikuti UPM ke-159 (naik 43), Universiti Kebangsaan Malaysia ke-160 (naik 24), Universiti Sains Malaysia ke-165 (naik 42) dan Universiti Teknologi Malaysia ke-217 (naik 11).

Naib Canselornya, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata dengan lonjakan itu, UPM mencatatkan kedudukan ke-159 universiti terbaik dunia dan merupakan universiti kedua terbaik dalam negara.

Katanya UPM juga mencatatkan indikator ‘Pelajar Antarabangsa’ tertinggi dalam negara dengan menduduki ranking 135 dunia bagi indikator itu, diikuti oleh UCSI University (142) dan Taylor’s University (162).

“Secara keseluruhan, ini adalah pencapaian terbaik UPM sejak penyertaan pertamanya dalam ranking ini selepas mencatat prestasi kenaikan selama enam tahun berturut-turut,” kata beliau.

Menurutnya UPM juga mencapai sasaran untuk berada dalam senarai 200 universiti terbaik dunia QS melalui inisiatif Putra®Global 200 (PG200), yang menjadi aspirasi penting dalam Pelan Strategik UPM 2014-2020.

“Pencapaian cemerlang ini membolehkan UPM menetapkan matlamat baharu dalam pelan transformasinya, selaras dengan peranan universiti dan asas-asas pendidikan,” katanya.

“Walaupun pada tahun ini indikator pelajar antarabangsa UPM tertinggi dalam negara tetapi lonjakan tertinggi indikator UPM ialah pada indikator Reputasi Majikan. Ini menandakan bahawa pelajar, penyelidikan dan aktiviti pengembangan kami mendapat pengiktirafan daripada industri,” katanya.

Aini berkata komitmen berterusan UPM dalam membina rangkaian antarabangsa yang kukuh telah menjadikan UPM mampu menarik pelajar, penyelidik, dan staf akademik bertaraf antarabangsa.

“Kesemua peningkatan ini adalah disebabkan oleh usaha bersama semua warga UPM dengan sokongan kuat daripada pelbagai peringkat pekerja yang memberikan nilai organisasi yang kukuh ke atas kecemerlangan, kepelbagaian, kemampanan, dan integriti di UPM.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua staf dan pelajar, alumni, pemegang taruh dan rakan industri atas sokongan yang diberikan kepada UPM sepanjang tahun-tahun yang mencabar kami,” kata Aini.

Menurutnya, UPM akan terus berusaha memperbaiki kelemahan, meningkatkan kekuatan dan mengambil pendekatan strategik untuk meningkatkan prestasi keseluruhan. Kami akan terus melaksanakan usaha berstruktur untuk menanda aras amalan dan prestasi kami dengan universiti terbaik dunia.

QS World University Rankings 2020 menilai 1,620 universiti utama dunia berdasarkan enam indikator iaitu Academic Reputation (40%), Employer Reputation (10%), Student to Faculty Ratio (20%), Citations per Faculty (20%), International Faculty (5%) dan International Students (5%). - UPM

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

Tarikh Input: 15/10/2019 | Kemaskini: 15/10/2019 | nsyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
C1575679476