TIngkat Kesedaran Penyakit Zoonotik Melalui Inovasi AR Micro World-Model 3D | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » TIngkat Kesedaran Penyakit Zoonotik Melalui Inovasi AR Micro World-Model 3D

TIngkat Kesedaran Penyakit Zoonotik Melalui Inovasi AR Micro World-Model 3D

SERDANG, 6 Mei - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan Model 3D yang hampir keseluruhannya diperbuat daripada bahan kitar semula yang mewakili kawasan pinggir bandar di Malaysia.

Ketua Penyelidik , Prof. Madya Dr Syafinaz Amin Nordin dari Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM berkata, model ini terdiri daripada kawasan perkampungan, rekreasi dan vektor (haiwan) bawaan penyakit. Integrasi antara teknologi telefon pintar berserta aplikasi teknologi realiti berperantara (AR) membolehkan para pengguna mengimbas pelbagai elemen yang terdapat pada model seperti haiwan, rumah dan kawasan punca penyakit.

“Sebelum bermula, pengguna haruslah memuat turun aplikasi yang diperlukan bagi mengimbas model 3D ini. Setelah pengimbasan dilakukan, segala maklumat tentang penyakit di dalam bentuk penceritaan digital, animasi, teks, visual dan audio akan tertera di paparan skrin telefon pintar pengguna”, katanya.

Beliau berkata, kebelakangan ini, berlaku peningkatan penularan wabak penyakit bawaan haiwan yang juga dikenali sebagai penyakit zoonotik di Malaysia. Justeru itu, konsep “One-Health” diperkenalkan bagi menerangkan hubung kait penyakit zoonotik  dengan manusia serta alam sekitar. Lanjutan dari pengenalan konsep ini, pelbagai strategi pencegahan penyakit telah dilakukan terutamanya oleh kakitangan kesihatan awam bagi membasmi penularan wabak yang semakin meningkat. Inovasi ini dicipta bagi memberi kesedaran mengenai penularan penyakit zoonotik terumatamanya di kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Kaedah yang diguna pakai adalah melalui pendekatan kesihatan awam dengan menggunakan model berbentuk fizikal 3D dengan integrasi aplikasi telefon pintar dan teknologi realiti berperanta (AR).”, katanya. Menurut beliau, penggunaan teknologi ini membolehkan pengguna mengimbas pelbagai unsur-unsur dan elemen pada model yang menjadi punca penyebaran wabak penyakit zoonotik.

“Kaedah penyampaian mesej kesedaran kesihatan dan langkah pencegahan yang di ambil melalui inovasi ini, dapat menarik minat pengguna terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja sekali gus meningkatkan keberkesanan dalam menyampaikan maklumat berkenaan penyakit zoonotik.”, katanya.

Inovasi ini telah memenangi pingat Perak dalam International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2018 (IIUM)  dan pingat Perak dalam EduInnovation 2018 (UKM).

Tarikh Input: 15/10/2019 | Kemaskini: 15/10/2019 | nsyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
C1573808816