Serdang, 18 Jun 2026 – Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Sesi Taklimat dan Perkongsian Penyediaan Proposal dan Dokumen bagi Permohonan Dana Pemacu 2.0 (MOSTI) Tahun 2026 secara dalam talian melalui platform Google Meet.
Sesi yang berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 4.00 petang itu bertujuan memberi pendedahan kepada para penyelidik mengenai tatacara penyediaan proposal, keperluan dokumentasi serta strategi terbaik dalam menyediakan permohonan yang berkualiti bagi Dana Pemacu 2.0 yang ditawarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Program tersebut telah disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Adzir bin Mahdi, yang berkongsi pengalaman serta panduan praktikal berkaitan penyediaan cadangan penyelidikan yang memenuhi kriteria penilaian geran. Beliau turut menekankan aspek-aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh penyelidik bagi meningkatkan kebolehjayaan permohonan dana.
Sesi ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para penyelidik UPM yang mengambil peluang untuk mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung syarat permohonan, penyediaan dokumen sokongan serta amalan terbaik dalam pembangunan proposal penyelidikan yang berimpak tinggi.
Melalui penganjuran sesi perkongsian seperti ini, RMC terus komited dalam memperkasakan ekosistem penyelidikan universiti dengan menyediakan sokongan dan bimbingan kepada para penyelidik dalam usaha mendapatkan pembiayaan penyelidikan yang kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa.
Diharapkan perkongsian yang diberikan dapat membantu para penyelidik menghasilkan proposal yang lebih mantap dan seterusnya meningkatkan kadar kejayaan permohonan Dana Pemacu 2.0 (MOSTI) Tahun 2026.
Tarikh Input: 19/06/2026 | Kemaskini: 19/06/2026 | norasiah

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Tingkat 5
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang, Selangor