19 Februari 2025, Serdang – Pejabat TNCPI terus komited dalam memperkukuh pelaksanaan EKSA melalui pelancaran Pemantapan EKSA Pejabat TNCPI 2025/2026. Gimik pelancaran ini telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Zamberi Sekawi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Putra Malaysia, yang juga merupakan Penasihat kepada Jawatankuasa Pelaksana EKSA Pejabat TNCPI.
Pelancaran ini diadakan bersempena dengan Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UPM yang berlangsung di Dewan Auditorium Rashdan Baba, Bangunan Pejabat TNCPI, UPM. Majlis ini telah dihadiri oleh warga Pejabat TNCPI yang terdiri daripada empat (4) Pusat Tanggungjawab (PTJ): Pejabat TNCPI, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Putra Science Park (PSP), Pusat Penerbit UPM dan Bahagian Pengurusan Makmal Universiti (BPMU).
Dalam ucapannya, YBhg. Prof. menekankan beberapa aspek penting yang perlu diamalkan oleh setiap warga Pejabat TNCPI bagi memastikan kecemerlangan serta pencapaian yang lebih tinggi pada masa hadapan. Antara elemen yang ditekankan adalah kecemerlangan melalui dedikasi, budaya kerja yang efisien dan efektif, serta kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang positif. Beliau juga menekankan kepentingan pengurusan masa dan keutamaan supaya setiap aktiviti EKSA dapat dilaksanakan dengan lebih optimum serta mampu memberi impak kepada peningkatan budaya organisasi yang berprestasi tinggi.
EKSA merupakan inisiatif MAMPU dalam menambah baik pelaksanaan Amalan 5S di sektor awam. Ia bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, meningkatkan imej korporat, menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi, menggalakkan amalan hijau, serta menerapkan elemen pengauditan yang memenuhi kepelbagaian fungsi dan premis agensi kerajaan. Sehubungan itu, penyempurnaan tandatangan simbolik dalam majlis ini menandakan permulaan rasmi pelaksanaan aktiviti dan program EKSA di bawah gabungan Pejabat TNCPI, RMC, PSP dan BPMU bagi sesi 2025/2026.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Badminton anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK), Pejabat TNCPI. Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada program yang dianjurkan oleh KSK, selain aktiviti lain seperti Pertandingan Ping Pong, Majlis Berbuka Puasa Pejabat TNCPI, ceramah keagamaan dan motivasi, serta pelbagai program lain. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan staf tetapi juga mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kerja dari pelbagai PTJ di bawah Pejabat TNCPI.
Inisiatif ini juga selaras dengan penyertaan Pejabat TNCPI dalam Anugerah Kualiti Persekitaran Tempat Kerja 2025/2026 yang akan dipertandingkan sempena Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) 2025/2026. Dengan penyertaan serta komitmen tinggi daripada seluruh warga Pejabat TNCPI, diharapkan pengamalan dan pembudayaan EKSA dapat terus diperkukuhkan.

Gimik Pelancaran Pemantapan EKSA Pejabat TNCPI 2025/2026

Tarikh Input: 07/04/2025 | Kemaskini: 07/04/2025 | fikri.munir

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Tingkat 5
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang, Selangor