SERDANG, 11 September 2025 – Jabatan Audit Negara (JAN) telah melaksanakan pengauditan terhadap Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 11 September 2025.
Pengauditan ini merupakan susulan daripada maklum balas yang diterima daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada bulan Julai dan Ogos lalu.
Sesi pertama dimulakan dengan taklimat ringkas serta perbentangan oleh UPM berhubung geran dan dana R&D&C&I yang diterima daripada kementerian serta agensi berkaitan. Selain itu, status tindakan berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental turut dibentangkan.
Sesi berkenaan berlangsung di Bilik Seminar, Putra Science Park dengan kehadiran wakil daripada Pejabat TNCPI, Pejabat Bursar, UPMCS, CiRNeT dan UCTC, manakala Dekan, Pengarah Institut serta Ketua Projek menyertainya secara atas talian.
Pada sebelah petang, sesi kedua diteruskan dengan lawatan fizikal serta semakan dokumen projek yang melibatkan MOSTI dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
UPM memberikan kerjasama penuh dengan menyediakan dokumen serta maklumat yang diperlukan sepanjang proses pengauditan ini.


Tarikh Input: 12/09/2025 | Kemaskini: 12/09/2025 | fikri.munir

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Tingkat 5
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang, Selangor