Inovasi Makmal Maya Untuk Latihan Amali | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » Inovasi Makmal Maya Untuk Latihan Amali

Inovasi Makmal Maya Untuk Latihan Amali

SERDANG, Jun 30 - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan laman sesawang yang menempatkan makmal maya bagi pelajar menjalankan amali secara maya sebelum melakukan amali itu di dalam makmal secara fizikal.

Makmal yang diberi nama ‘AsperLabs: an Open Source Virtual Laboratories for Foundation Programme’ di Pusat Asasi Sains Pertanian UPM itu, membolehkan pelajar melawat laman sesawang berkenaan dan menjalankan amali secara maya berpandukan arahan yang diberikan.

Keputusan yang diperolehi akan direkodkan sebagai persediaan sebelum masuk ke makmal. Pelajar juga boleh mengulang amali itu tanpa had sehingga keputusan yang diperolehi adalah memuaskan.

Pelajar kemudian akan menjalankan amali yang sebenar di makmal dan merekodkan keputusan mereka serta dapat membandingkan keputusan yang diperolehi secara maya dan yang di dalam makmal sebenar serta mengenalpasti punca perbezaaan keputusan.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Muhammad Alif Mohammad Latif berkata, pelajar secara amnya seringkali gagal mendapat gambaran yang jelas mengenai hubungkait antara subjek yang dipelajari semasa kuliah dan sesi amali di makmal.

Justeru katanya, inovasi itu akan dapat meningkatkan kefahaman mereka mengenai subjek dan sesi amali yang akan dijalankan di dalam makmal kerana ia berfungsi sebagai persediaan sebelum masuk ke makmal bagi menjalankan sesi amali secara fizikal.

“Dengan menggunakan makmal maya, pelajar akan mendapat keputusan amali terlebih dahulu secara teori, dan kemudian membandingkan keputusan teori dan amali sebenar.

“Ini dapat menjadi penanda aras bagi pengajar dan pelajar untuk menilai tahap pencapaian sesi amali,” katanya.

Dr. Muhammad Alif yang juga pensyarah kanan di Pusat Asasi Sains, berkata inovasi itu melibatkan pembangunan sebuah laman sesawang yang menempatkan amali-amali maya bagi empat subjek di Pusat Asasi Sains Pertanian UPM iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

Beliau berkata, setakat ini, aktiviti bagi subjek Fizik, Kimia dan Biologi telah berjaya ditempatkan di laman sesawang itu, manakala  bagi subjek Matematik, laman sesawang itu akan berfungsi sebagai alternatif kepada kaedah latihan yang seringkali dijalankan di dalam waktu kuliah.

“Inovasi ini adalah yang pertama seumpamanya di Pusat Asasi Sains Pertanian UPM di mana amali secara maya dan amali sebenar diintegrasi ke dalam subjek di peringkat pra-universiti,” katanya.

Selain empat subjek di Pusat Asasi Sains Pertanian UPM, katanya, subjek-subjek lain termasuk di peringkat ijazah dapat menggunakan kelebihan amali maya untuk meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dengan kaedah pelaksanaan yang sama.

Beliau berkata, inovasi itu dapat meningkatkan kefahaman pelajar mengenai subjek yang dipelajari di samping menerapkan kesedaran mengenai kelebihan menggunakan komputer di dalam pembelajaran sejajar dengan revolusi industri 4.0.

Katanya, inovasi itu juga boleh diguna pakai oleh guru-guru sekolah, mengikut tahap pembelajaran dan subjek.

Inovasi itu memenangi tempat ketiga Pertandingan Amalan Inovasi P&P Terbaik Fakulti/Pusat 2017, dan memenangi pingat perak pada Putra Innocreative Carnival in Teaching and Learning 2018.

Projek penyelidikan itu bermula pada 1 Ogos 2016 dan tamat 31 Januari 2019. Dua lagi ahli kumpulan penyelidikan itu ialah Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, Prof. Dr. Norihan Md. Arifin dan Dr. Marina Mohd Top @ Mohd Tah.

Laman web pada masa ini boleh dicapai melalui pautan: http://asperlabs.tcchem.blog. Dalam masa terdekat, ia akan dipindah ke pautan www.asperlabs.upm.edu.my. - UPM

Oleh: Azman Zakaria dan Noor Azreen Awang

Tarikh Input: 15/10/2019 | Kemaskini: 15/10/2019 | nsyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
C1575679600