Inovasi E-Site Inventory Mudahkan Kumpul Data Di Tapak Projek | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » Inovasi E-Site Inventory Mudahkan Kumpul Data Di Tapak Projek

Inovasi E-Site Inventory Mudahkan Kumpul Data Di Tapak Projek

 

 

SERDANG, 3 April:  e-Site Inventory, inovasi aplikasi “semua dalam satu” telah membolehkan kerja pengumpulan data di tapak projek dilakukan jauh lebih mudah berbanding kaedeah konvensional, manakala maklumat yang diperoleh juga lebih tepat.

Berasaskan aplikasi telefon bimbit dan menggunakan teknologi telekomunikasi terkini, e-Site Inventory ini boleh melaksanakan pelbagai fungsi seperti memuat turun pelan, mengambil imej atau gambar dengan saiz pixel gambar yang boleh dihadkan, menentukan kedudukan koordinat x dan y di atas muka bumi, membuat lakaran di atas imej, dan memasuk serta menyimpan maklumat atau nota secara sistematik dan tersusun.

Ini akan menyelesaikan kerja rumit dalam pengumpulan data di tapak projek yang selama ini dilakukan menggunakan kaedah konvensional dalam bidang rekabentuk, senibina, kejuruteraan dan penyelidikan.

Kaedah konvensional memerlukan segala peralatan seperti kamera, pelan, buku nota, alat peranti GPS dan pita ukur dibawa, yang menyukarkan golongan profesional, juru ukur dan pelajar bagi mendapatkan data, sekali gus boleh mengakibatkan kerja pengumpulan data menjadi tidak tepat.

“Pengalaman yang saya lalui dan kepayahan yang ditempoh pelajar membawa banyak peralatan dan pelan yang bersaiz besar telah mencetuskan idea untuk membangunkan e-Site Inventory,” kata Timbalan Dekan (Akademik, Antarabangsa dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof yang membangunkan inovasi itu.

Beliau bersama Prof. Madya LAr. Dr. Osman Mohd Tahir dan ‘programmer’ tempatan, Mohd Fakhrurrazi Mahmood memulakan penyelidikan pada 2014 dan inovasi itu mendapat hak cipta pada 2015.

“Dengan hanya menggunakan sebuah telefon bimbit atau tablet, kerja-kerja pengumpulan data dapat dilaksanakan. Aplikasi ini boleh dimuat naik melalui android play store,” kata Dr. Mohd Johari.

Selain memudahkan pelajar, katanya, inovasi ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar kerana pelajar tidak lagi menggunakan atau membawa kertas ke kawasan tapak kerana semua maklumat dan lakaran dilakukan dalam e-Site Inventory.

Beliau berkata, aplikasi e-Site Inventory versi 1.0 itu juga mampu menghantar maklumat yang dikumpul di tapak projek melalui kemudahan e-mel yang dibina dalam aplikasi berkenaan tanpa perlu balik ke pejabat, sekali gus dapat memastikan data yang dikumpul adalah dari tapak sebenar.

Menurutnya, aplikasi inventori maklumat alat tulis atau inventori dalaman bangunan memang sudah banyak terdapat di pasaran tetapi aplikasi khusus untuk kerja pengumpulan atau inventori tapak masih tiada di pasaran.

“Gabungan fungsi dan kemudahan e-mel dan had saiz imej menjadikan aplikasi ini unik, ia belum dibangunkan oleh mana-mana individu atau institusi,” katanya.

 Menceritakan usaha membangunkan inovasi itu, Dr. Mohd Johari berkata, pada awalnya beliau berdepan masalah mencari ‘programmer’ sehingga perlu memaklumkan (blast) dalam kumpulan WhatsApp rakan-rakan sekolah rendahnya Sekolah Kebangsaan Angkatan Tentera, Johor Bahru mengenai hasratnya mencari ‘programmer’.

“Ketika itu tempoh untuk membangunkan inovasi ini semakin singkat.  Melalui WhatsApp itu, seorang rakan sekolah rendah mencadangkan saya untuk menghubungi Mohd Fakhrurrazi. Alhamdulillah usaha itu kemudian berjalan lancar,” katanya.

Katanya, beliau kini dalam peringkat membangunkan e-Site Inventory versi 2.0 pula yang akan mempunyai kemudahan rakaman video, melakar menggunakan pelbagai warna serta mengukur ketinggian pokok atau bangunan.

Aplikasi e-Site Inventory versi 1.0 itu memenangi anugerah “The Best Award” dan pingat emas pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2016, ‘merit award’ pada Malaysia Landscape Design Award 2015 (MLAA 2015), pingat gangsa pada Innovation Practices in Higher Education Expo 2015 (I-PHEX 2015), pingat perak pada International Conference and Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning 2015 (PECIPTA’15), pingat emas pada International Invention, Innovation & Design 2015 (IIID 2015); dan pingat emas pada National University Carnival one-learning 2014 (NUCEL 2014). - UPM

e-site2 

Tarikh Input: 12/04/2017 | Kemaskini: 14/04/2017 | noridahanim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
SXEUHAp~