DLC Siri 6.0: Engineering Plants To Improve Rice Production In A Changing Environment | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » DLC Siri 6.0: Engineering Plants To Improve Rice Production In A Changing Environment

DLC Siri 6.0: Engineering Plants To Improve Rice Production In A Changing Environment

2 November 2018 – Bertemakan Memperkasakan Pertanian, Fakulti Pertanian dan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Universiti Putra Malaysia telah bekerjasama untuk mengajurkan  DLC Siri 6.0 bertajuk ‘Engineering Plants To Improve Rice Production In A Changing Environment’. Semua penyelidik dalam dan luar Universiti Putra Malaysia ini telah dijemput hadir dan bilangan penyertaan mencapai 147 orang.  Syarahan telah diadakan bertempat di Auditorium Rashdan Baba, Pejabat TNCPI, bermula pada pukul 9 pagi sehingga 12 tengah hari. Turut hadir Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi dan Timbalan Pengarah RMC, Prof. Madya Ir. Dr. Aduwati Sali sebagai tetamu kehormat.

Seorang tetamu akademik yang pakar dalam bidang pembangunan tanaman dan penambahbaikan tumbuhan, Prof. Dr. Andrew Fleming dari The University of Sheffield, UK, telah dijemput sebagai penceramah. Beliau merupakan seorang penyelidik yang aktif dalam penerbitan makalah dan mempunyai skor h-index: 30. Syarahan beliau adalah berkaitan penyelidikan terkini terutamanya tanaman padi yang menjadi kepakaran utama penceramah. Beliau juga sedang dalam proses penjanaan Challenge-led Grants bertajuk ‘Breeding Rice Resilient to a High CO2 Future’ yang turut dianggotai oleh penyelidik dari Fakulti Pertanian dan agensi luar.

Selain daripada syarahan terbuka, satu perbincangan tertutup telah diadakan pada sebelah petang bertempat di Bilik Lembaga, Pejabat TNCPI. Perbincangan ini telah dihadiri oleh penyelidik UPM dan juga pihak industri membincangkan peluang-peluang penyelidikan dan kolaborasi.

DLC Siri 6.0 ini juga diadakan dengan tujuan untuk menjalin kerjasama antarabangsa bagi memajukan lagi penyelidikan pertanian di UPM, menjalankan kerjasama penyelidikan dengan institusi berkaitan pertanian negara, memberi peluang kepada pegawai akademik UPM untuk menjalankan penyelidikan berimpak untuk menghasilkan output melalui usaha penyelidikan antara disiplin, membantu pegawai akademik UPM untuk menghasilkan  penerbitan yang berkualiti tinggi, dan mewujudkan jalinan kerjasama akademik jangka panjang antara UPM dan University of Sheffield dalam bidang pertanian.

Diharapkan agar kerjasama antarabangsa antara penyelidik UPM, agensi luar, dan University of Sheffield akan lebih rancak dalam usaha untuk memperkasakan pertanian negara melalui program DLC ini.

Tarikh Input: 14/11/2018 | Kemaskini: 15/11/2018 | nsyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
C1571822518