‘Throat-Lite’, Inovasi UPM Untuk Diagnosis Penyakit Kerongkong Yang Tepat Dan Pantas | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » ‘Throat-Lite’, Inovasi UPM Untuk Diagnosis Penyakit Kerongkong Yang Tepat dan Pantas

‘Throat-Lite’, Inovasi UPM Untuk Diagnosis Penyakit Kerongkong Yang Tepat dan Pantas

SERDANG, 26 Februari - Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan Inovasi pemeriksaan kerongkong, ‘Throat-lite’ yang menggabungkan penggunaan ‘wooden tongue depressor’ atau spatula dengan lampu LED mini boleh menghasilkan pemeriksaan yang lebih cepat dan cekap ke arah pendiagnosan penyakit yang tepat. Melalui inovasi itu, penggunaan ‘wooden tongue depressor’ pakai buang sedia ada, ditambahbaik dengan lampu LED mini. Lampu LED yang kecil, ringan dan boleh dipusing 360 darjah hanya perlu diklip pada  “wooden tongue depressor” untuk digunakan. Ia hanya dipegang dengan sebelah tangan, manakala cahaya daripada lampu LED mini yang dipasang pada ‘wooden tongue depressor,’ boleh dihalakan tepat pada bahagian yang perlu diberi perhatian.

Pakar Patologi (Hematologi) (Pengkhususan Kaji Penyakit Bahagian Darah), Fakutli Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Sabariah Md Noor, berkata, melalui intervensi itu, pemeriksaan kerongkong di kalangan kanak-kanak akan menjadi lebih mudah dan membolehkan pemeriksaan dilakukan oleh seorang pengamal perubatan sahaja. Katanya, pengamal perubatan tidak memerlukan bantuan kakitangan sokongan atau ibu bapa pesakit untuk memegang, meriba pesakit atau menstabilkan kedudukan kepala pesakit dan menenangkan kanak-kanak yang mungkin meragam sewaktu pemeriksaan dilakukan.

Justeru, katanya, ‘Throat-lite’ ini yang bersaiz kecil, mudah alih dan praktikal, boleh memberi impak besar dalam tugas harian pengamal perubatan, yang membolehkan mereka memberi rawatan segera dan bersesuaian daripada pendiagnosan penyakit. Katanya, idea menghasilkan ‘Throat-lite,’ itu tercetus ketika perbincangan beliau dengan Pakar Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr. Shazreen@Fatihah Shaari kerana menyedari kesulitan yang dihadapi pengamal perubatan semasa pemeriksaan kerongkong kanak-kanak.  Menurutnya, pada masa ini pengamal perubatan memerlukan bantuan kakitangan sokongan atau ibu bapa untuk memegang kanak-kanak semasa pemeriksaan kerongkong manakala pengamal perubatan pula memegang lampu suluh dengan satu tangan manakala sebelah tangan lagi memegang ‘wooden tongue depressor’.

‘Throat-lite’ memenangi anugerah pingat perak pada ISTEMO 2018. Dr. Sabariah berharap penggunaan ‘Throat-lite’ dapat merealisasikan sebahagian misi dan visi Kementerian Kesihatan iaitu pemeriksaan pesakit dapat dilakukan dengan lebih cepat dan cekap ke arah pendiagnosan penyakit yang tepat, seterusnya rawatan segera dan bersesuaian dapat dijalankan. – UPM

Oleh: Azman Zakaria dan Noor Azreen Awang

 

Tarikh Input: 15/10/2019 | Kemaskini: 15/10/2019 | nsyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
SXDdAAD~