Medicated Wound Dressing, Teknologi Hijau Pencuci Luka Pesakit Diabetis | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » Medicated Wound Dressing, Teknologi Hijau Pencuci Luka Pesakit Diabetis

Medicated Wound Dressing, Teknologi Hijau Pencuci Luka Pesakit Diabetis

SERDANG, 29 Mei – Berinspirasikan pengalaman mencuci luka pesakit diabetes 3 tahun lalu, Prof. Dr. Rosfarizan Mohamad daripada Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM telah berjaya menghasilkan inovasi Medicated Wound Dressing iaitu inovasi pencuci luka yang menggunakan teknologi hijau bersumberkan peria katak yang dapat dihasilkan dengan kos yang rendah dan lebih efektif pada sesi Sidang Media Putracipta di Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia

Menurut beliau, Malaysia mempunyai kira-kira tiga juta pesakit yang menghidap penyakit kencing manis dan merupakan kadar pesakit yang tertinggi di Asia. Dengan jumlah tersebut, lebih daripada RM2.04 billion setahun telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk merawat pesakit kencing manis dan sebahagiannya digunakan untuk membayar kos pencucian luka pesakit-pesakit tersebut menggunakan produk pencuci luka import yang berkos tinggi.

“Inovasi Medicated Wound Dressing adalah produk yang berasaskan penggunaan nanoselulosa yang dihasilkan oleh bakteria yang ditemui dalam buah yang rosak seperti buah belimbing. Nanoselulosa tersebut kemudiannya digabungkan dengan bahan nano yang telah disintesis dari peria katak untuk menghasilkan produk baharu dikenali sebagai bahan komposit selulosa bakteria nano partikel perak atau komposit ‘hijau’”, katanya.

Komposit ‘hijau’ adalah produk baharu dan ‘novel’ untuk bahan penyembuh dan pencucian luka yang kronik. Inovasi ini juga menunjukkan proses dan ciri-ciri yang ekonomik, mesra alam dan mempunyai ciri-ciri penting anti-mikrob. Berbeza dengan harga produk penyembuh luka import yang mahal di pasaran, produk Medicated Wound Dressing dapat dihasilkan pada harga yang berpatutan.

“Antara kelebihan produk ini ialah ia boleh digunakan secara terus pada luka sebagai gel penyembuh, atau boleh disediakan sebagai lapisan dalam balutan luka, atau dijadikan sebagai cecair penyembur.” Katanya.

Produk ini menggunakan kaedah hijau (green method), lebih ekonomik kerana menggunakan sisa dan bahan buangan daripada buah-buahan, dihasilkan melalui prosedur yang mudah, tidak mengandungi bahan toksik, mempunyai ciri penyembuhan dan anti-mikrobial lebih berkesan serta berpotensi besar digunakan pada luka yang kronik dan traumatik dengan mengurangkan jangkitan kuman yang mana sesuai kepada rawatan luka pesakit kencing manis.

Prof Dr Samsilah Roslan, Pengarah Putra Science Park, UPM berkata, “UPM mengharapkan kerjasama daripada pihak industri agar dapat mengkomersilkan hasil inovasi ini supaya pelbagai kelebihan inovasi ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya kepada golongan B40”

 

Ahli kumpulan yang terlibat dalam menghasilkan Medicated Wound Dressing bersama Prof. Dr. Rosfarizan Mohamad ialah Muhammad Izzuddin Zahimi, Dr. Mona Moniri, Dr. Amin Boroumandmoghaddam, Dr. Sussan Azizi, Zulhimi Masri, Dr. Mohamad Ridzuan Yahya, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim dan Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad.

Inovasi Medicated Wound Dressing telah memenangi pingat emas di International Invention, Innovation & Technology Exhibition, Malaysia (ITEX) 2019 pada 4 Mei 2019 yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Tarikh Input: 15/10/2019 | Kemaskini: 15/10/2019 | nsyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
C1575679284