UPM Tuan Rumah Konvensyen Rukun Negara 2017 | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » UPM tuan rumah Konvensyen Rukun Negara 2017

UPM tuan rumah Konvensyen Rukun Negara 2017

SERDANG, 13 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih menjadi tuan rumah bagi Konvesyen Sekretariat Rukun Negara (SRN) 2017 pada 11 hingga 13 Ogos 2017 di Kolej Kelima, UPM.

Konvensyen yang julung kali dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama UPM itu mengetengahkan tema ‘Mahasiswa Rasional dan Sederhana’ memberi penekanan kepada isu semasa perpaduan serta pembentukan pemikiran rasional dan sederhana di kalangan mahasiswa.

Konvensyen SRN membuka peluang kepada mahasiswa untuk perbincangan intelektual dan ilmiah di antara tokoh-tokoh berpengaruh Malaysia dan pemimpin-pimimpin pelajar Malaysia dari Sekretariat Rukun Negara Kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup berkata SRN sebagai agen negara dalam menyemai perasaan cintakan negara.

“Mahasiswa merupakan kelompok paling besar dalam populasi masyarakat Malaysia.

“Persidangan ini dapat mengumpul lontaran suara dan pandangan mahasiswa dalam menentukan pembangunan Malaysia menjelang tahun 2050 nanti,” katanya semasa merasmikan majlis penutup Konvensyen SRN.

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof. Madya Dr. Paramasivam Muthusamy berkata UPM akan terus membantu dalam menyumbang kepada jaringan maklumat dan kepakaran untuk program kolaborasi SRN.

“Peranan UPM sebagai tuan rumah Konvensyen SRN tidak habis di sini sahaja. 

“UPM turut menyediakan penasihat kelab yang boleh membantu dari sudut idea dan pandangan bagi pelajar menajalankan program berkaitan perpaduan.

Sementara itu, sepuluh resolusi hasil daripada persidangan itu diserahkan kepada Tan Sri Datuk Panglima Joseph Kurup. 

Resolusi itu menjadi garis panduan dalam merangka Pelan Tindakan SRN yang lebih komprehensif. 

Turut diadakan ialah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) JPNIN bersama Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF) bertujuan memantapkan tahap keselamatan pencegahan jenayah di kalangan komuniti, penyampaian sijil kepada peserta dan penyampaian hadiah pemenang mencipta logo SRN.

SRN merupakan ilham daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang diwujudkan pada tahun 2008.  Sehingga tahun 2017, SRN berjaya ditubuhkan di 143 Institusi Pengajian Tinggi termasuklah Kolej Matrikulasi, Kolej Komuniti, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Politeknik, IPTA dan IPTS.

Tarikh Input: 22/08/2017 | Kemaskini: 22/08/2017 | noridahanim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
SXEUAAk~