Persidangan IFRC Platform UPM Teraju Industri Penyelidikan Makanan | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » Persidangan IFRC platform UPM teraju industri penyelidikan makanan

Persidangan IFRC platform UPM teraju industri penyelidikan makanan

SERDANG, 25 Julai – Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Makanan (IFRC 2017) anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan platform untuk kerjasama serantau dan global dalam menerajui industri penyelidikan makanan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar berkata isu-isu berkaitan penyelidikan makanan adalah kritikal kerana makanan mampu mempengaruhi kesejahteraan pengguna secara langsung.

“Persidangan ini bersifat multi-disiplinari merangkumi bidang-bidang utama penyelidikan makanan antaranya Pemprosesan dan Biopemprosesan Makanan, Kejuruteraan Makanan, Keselamatan dan Kualiti Makanan, Makanan Fungsian dan Pemakanan, Teknologi Lepas Tuai, Pengurusan dan Khidmat Makanan dan Makanan Halal,” katanya.

Beliau berkata penganjuran persidangan itu bertepatan sejajar dengan UPM sebagai pusat kecemerlangan pendidikan pertanian untuk membangunkan tenaga kerja mahir bagi industri yang berkaitan terutamanya sektor makanan.

Prof. Dato’ Dr. Husaini turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian UPM yang menduduki tangga ke-25 dunia dan pertama di rantau ASEAN dalam bidang ‘Food Science and Technology ’ seperti yang diumumkan Shanghai Ranking’s Global Ranking of Academic Subject (GRAS) 2017 pada 17 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Prof. Dr. Russly Abdul Rahman pula berkata persidangan itu mewujudkan rangkaian academia serta mengukuhkan jalinan kerjasama antara UPM dan agensi berkaitan dalam bidang penyelidikan makanan.

Persidangan tiga hari itu menerima penyertaan seramai 300 pembentang dari 17 negara antaranya Malaysia, Ireland, Jepun, Pakistan, Iran, Sri Lanka, Indonesia, Arab Saudi, Thailand, India, Filipina, Sudan, Taiwan, Vietnam, Nigeria, Australia dan Korea Selatan.

Turut diadakan adalah pameran poster dan booth IFRC yang menampilkan lebih daripada 10 produk penyelidikan dan  pembangunan teknologi makanan. - UPM

Tarikh Input: 22/08/2017 | Kemaskini: 22/08/2017 | noridahanim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
SXDdGAW~