Penyakit Ikan Mesti Segera Ditangani | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » Penyakit Ikan Mesti Segera Ditangani

Penyakit Ikan Mesti Segera Ditangani

SERDANG, 4 April - Ahli sains perlu bergading bahu dan meningkatkan kerjasama  dengan pemegang taruh lain untuk sama-sama memahami secara lebih mendalam mengenai penyakit ikan yang kompleks, cara menanganinya dan pengurusan kesihatan haiwan aquatik ke arah memenuhi permintaan terhadap ikan sebagai sumber makanan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata potensi industri akuatik adalah tinggi dan semakin berkembang, tetapi ia berdepan dengan beberapa isu terutamanya penyakit.

Katanya, adalah penting isu kesihatan ikan ditangani untuk membolehkan aktiviti akuakultur terus berkembang dan industri itu kekal mampan.

Kes penyakit yang sering menyerang ikan dalam sektor komersil adalah satu daripada faktor yang menyebabkan kerugian besar industri itu, katanya sambil memberikan contoh, Koi Herpes Virus (KHV) yang menyebabkan kerugian kira-kira RM1 bilion kepada negara.

Beliau berkata, permintaan terhadap sumber ikan meningkat mendadak sejak beberapa dekad lalu ekoran pertambahan penduduk dunia tetapi sumber ikan laut tidak meningkat. 

“Di Malaysia, tangkapan ikan menurun dari 1.48 juta tan pada 2013 kepada 1.46 juta tan pada 2015. Ini boleh menjadi petunjuk penurunan pengeluaran ikan di Malaysia, berkemungkinan daripada eksploitasi stok perikanan secara berlebihan atau faktor alam sekitar lain.

 “Cabaran ini dilihat berjaya diatasi melalui industri akuakultur sebagai penyumbang penting sekuriti makanan, yang juga mengurangkan kadar kemiskinan serta menyumbang pendapatan masyarakat,” katanya ketika merasmikan International Conference on Advances in Fish Health (ICFISH) 2017, di sini.

Sebanyak 52 kertas kerja dibentang dan dibincangkan oleh pakar dan pemegang taruh bidang akuakultur pada persidangan tiga hari itu yang bertemakan Eradicating Infection, Enhancing Production. ICFISH 2017 membincangkan cabaran dan kemajuan yang diperlukan dalam kawalan  penyakit dan cara pengurusan kesihatan haiwan akuatik.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. M Iqbal Saripan berkata industri akuakultur pada masa ini sedang berkembang tetapi berdepan dengan penyakit ikan dan pengurusan tidak betul  yang menjejaskan industri itu.

Justeru, katanya, penganjuran ICFISH 2017 adalah bertepatan untuk menangani persoalan dan isu kesihatan ikan.

“Sebagai sebuah universiti dengan reputasi kukuh dalam pengajaran dan penyelidikan berasaskan akuakultur di rantau ini, kami berbesar hati dapat menganjurkan persidangan antarabangsa dan menghimpunkan pakar pelbagai bidang penyakit dan kesihatan akuakultur untuk berkongsi idea serta pengetahuan, dan berharap dapat menjalin kerjasama global pada masa depan,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 13/04/2017 | Kemaskini: 13/04/2017 | noridahanim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
SXDdKAe~